April 11, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Kedua-dua benua Eropah dan Amerika terus bersaing dengan melambakkan lebih banyak wang ke dalam ekonomi mereka. Namun berapa besarlah Eropah jika dibandingkan dengan Amerika Syarikat! Setelah banyak kali bermesyuarat, pada hari Khamis, 10 April, Menteri Kewangan EU telah menerima kata sepakat untuk memulakan langkah-langkah tindakan bagi menyokong negara mereka dengan jumlah “hampir” €500 bilion. Dalam masa yang sama, Rizab Persekutuan AS telah mengumumkan satu lagi program sokongan berjumlah $2.3 trilion yang akan dilancarkan. Selain itu, Ketua Rizab Persekutuan Jerome Powell berkata berkemungkinan program seperti itu bukanlah yang terakhir dan pihaknya akan melakukan apa saja untuk memulihkan ekonomi AS secepat yang mungkin selepas berakhirnya wabak nanti.
    Powell telah diamanahkan untuk menguruskannya. Matlamat beliau bukan saja untuk COVID-19, malah tahun 2020 adalah tempoh bagi pilihanraya Presiden AS yang seterusnya, dan Donald Trump benar-benar mahu kekal di White House bagi penggal kedua. Pertumbuhan ekonomi AS adalah salah satu aset utama perjuangan beliau untuk jawatan presiden itu.
    Penghentian program pelonggaran kuantitatif di Amerika Syarikat bukan saja memberi tekanan kepada nilai dolar, malah dagangan indeks USDX ditutup di bawah paras psikologinya iaitu 100.0 pada 9 April. Bagi pasangan EUR/USD pula, nilai dolar mula menyusut pada hari Isnin. Walau bagaimanapun, penyusutan ini tidaklah seteruk seperti minggu terakhir Mac lalu apabila pasangan ini kehilangan 510 mata. Kini, pertumbuhan nilai euro tidak melebihi 200 mata, manakala pasangan ini mengakhiri tempoh lima hari dagangan dengan berada di zon 1.0940 dan tidak mencecah paras yang dimahukan iaitu 1.1000;
  • GBP/USD. Nilai dolar juga menyusut berbanding pound. Selain perkara yang disebutkan di atas, terdapat satu lagi faktor yang menyokong matawang British iaitu pertumbuhan kadar pinjaman berterusan bagi pound di London serta penurunan kadar pinjaman ke atas dolar AS.
    Melihat pada ramalan beberapa minggu lalu, 20% penganalisis menjangkakan pasangan ini akan terus mengikuti trend pergerakan ke arah sisi di antara 1.2245-1.2485, dan naik 30% lagi – bergerak dari sempadan bawah ke sempadan atas saluran tersebut, menyatakan 1.2475 sebagai paras rintangannya. Ternyata keseluruhan ramalan para penganalisis adalah tepat: setelah gagal untuk berada di bawah paras sokongan 1.2200, pasangan ini mengubah arah pergerakan ke atas dan mengakhiri sesi dagangan pada 1.2470;
  • USD/JPY. 60% penganalisis menjangkakan pasangan ini akan melepasi rintangan pada 108.70 manakala nilai dolar akan mengukuh ke paras 111.65. Ia berjaya melepasinya, namun, turun naik matawang Jepun amatlah rendah, dan pertumbuhan pasangan ini terhenti pada paras 109.37, kemudian ia kembali semula ke paras permulaan pada hari Isnin iaitu di zon 108.40;
  • Matawang Kripto. Sebilangan penganalisis cuba untuk memperbaiki status Bitcoin sebagai aset selamat dengan meyakinkan kita bahawa nilai aset digital tersebut mampu menyaingi nilai emas sebenar jika pelabur melihatnya sebagai aset selamat. Oleh itu, penganalisis di syarikat pengurusan VanEck Global membuat kesimpulan bahawa “hubung kait antara Bitcoin dan juga emas telah mencapai paras yang tidak dijangka-jangka” setelah melihat krisis yang berpunca daripada wabak COVID-19.
    Memang benar sebut harga kedua-dua aset sedang meningkat. Carta XAU/USD dan BTC/USD menunjukkan nilai emas naik sebanyak 16% sejak 16 Mac, 2020, manakala pertumbuhan nilai Bitcoin adalah sebanyak 55% untuk tempoh yang sama. Walau bagaimanapun, jika anda bergerak 4 hari ke depan, memulakan kiraan pada 20 Mac dan bukannya 16 Mac, gambaran yang ditunjukkan adalah berbeza: harga emas meningkat hampir kepada 14%, namun pertumbuhan nilai Bitcoin sepanjang tiga minggu lalu adalah … kosong.
    Hal ini menunjukkan dengan kemeruapan sebegitu tinggi, bitcoin kekal sebagai satu alat spekulasi untuk jangka masa pendek. Untuk menggunakannya sebagai aset selamat, malah untuk menjadi suatu objek pelaburan juga masih menjadi tanda tanya. Akan tetapi, penganalisis di VanEck juga bersetuju dengan perkara ini, mereka menyebut kenyataan sebelum ini hanya untuk tempoh masa pendek. Hubung kait antara XAU/USD dan BTC/USD untuk jangka masa panjang masih lagi rendah.
    Dalam ramalan kami sebelum ini, kami nyatakan bahawa sejak 20 Mac, matawang kripto utama gagal untuk berada di atas paras $7,000. Minggu lalu juga sama. Bull berjaya melepasi rintangan pada 6 April, malah melonjak ke paras $7,440 namun mereka tewas sekali lagi dan pada hari Jumaat, pasangan ini turun ke zon di antara $6,850-6,900.
    Bagi jumlah keseluruhan modal pasaran kripto, tidak banyak yang berubah dalam seminggu dan nilainya adalah sekitar $193 bilion. Indeks Fear & Greed Kripto juga tidak berubah, pasaran masih lagi menunjukkan perasaan takut, bacaannya hanya naik satu mata sepanjang minggu daripada 14 kepada 15.
    Altcoin terkenal seperti Ripple (XRP/USD), Litecoin (LTC/USD) dan Ethereum (ETH/USD) juga melalui perkara yang sama seperti matawang kripto utama, namun yang membezakannya adalah mereka masih lagi berada di zon hijau pada petang Jumaat, 10 April, menunjukkan peningkatan mingguan sebanyak 5% (Litecoin dan Ripple) dan 10% (Ethereum).

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Tidak perlu diperkatakan lagi, situasi wabak coronavirus di Amerika Syarikat adalah amat membimbangkan, ekonomi negara itu kini goyah dan berada di ambang kemelesetan. Bagi menyokong pengeluaran, pihak Rizab telah melancarkan program pelonggaran kuantitatif dan bermula pada 16 Mac, mereka telah membuat pembelian bon Perbendaharaan sebanyak $1.19 trilion. Pihak Rizab akan terus membeli lebih banyak sekuriti dengan nilai $150 bilion pada minggu hadapan, dan hal ini akan memberi tekanan lebih berat kepada nilai dolar. Disebabkan itulah 65% penganalisis mengunjurkan trend pertumbuhan EUR/USD akan terus berlaku. Paras rintangannya berada pada 1.1000, 1.1150 dan 1.1240.
    Namun begitu, dolar masih lagi menjadi matawang terbaik sepanjang krisis ini berlaku. Hakikat inilah yang menyebabkan jualan matawang tersebut terhenti pada minggu lalu, dan menurut baki 35% penganalisis lagi, ia mampu untuk mengubah trend pasangan ini ke arah bawah. Sasarannya adalah 1.1100 dan 1.1175;
    Sesiapun boleh memahami apa yang indikator tunjukkan pada carta pasangan ini. Pada D1, segalanya agak berwarna-warni: peratusan antara warna hijau, merah dan kelabu agak sama. Pada H4 pula, sudah tentu warna hijau mendominasi, namun 25% pengayun sudahpun berada di zon lebihan belian.
    Bagi indikator makroekonomi, tumpuan harus diberikan kepada data jualan runcit dan juga bilangan tuntutan terhadap pengangguran awal di AS yang akan diketahui pada 15 dan 16 April nanti. Selain itu, data KDNK di China juga dapat membantu dalam menilai impak coronavirus terhadap ekonomi negara tersebut, dan ia akan dikeluarkan pada hari Jumaat, 17 April;
  • GBP/USD. Permintaan terhadap matawang British kini meningkat disebabkan oleh perbezaan kadar antara matawang pound dan juga dolar di pasaran pinjaman antara bank. Walau bagaimanapun, segalanya mampu berubah dalam sekelip mata. Oleh itu ramalan para penganalisis tidak boleh diberikan mengikut mana-mana penyebut sepunya: 40% memilih pertumbuhan pasangan ini, 35% pula penurunannya, manakala 25% lagi tidak memberikan sebarang pendapat.
    Pasangan ini berada di saluran sisi untuk minggu kedua, bergerak pada julat antara 1.2200-1.2485, dan ia akan memulakan pergerakannya pada hari Isnin, 13 April dari sempadan atas. Analisis grafik pada H4 menunjukkan ia akan terus mengalami pertumbuhan menghampiri paras 1.2600 dan seterusnya turun ke paras sokongan 1.2200. Julat turun naiknya pada D1 adalah sedikit besar: mula-mula naik ke paras 1.2650, dan kemudian turun ke paras 1.2175. Situasi yang dihadapi indikator adalah hampir sama dengan bacaan untuk EUR/USD, 25% pengayun pada kedua-dua tempoh masa menunjukkan pasangan ini telah mengalami lebihan belian;
  • USD/JPY. Jumlah dolar dalam sistem kewangan global, hasil bagi bon Perbendaharaan AS, indeks saham dan juga harga minyak, keadaan ekonomi di China - semua faktor-faktor ini memberi kesan terhadap daya tarikan yen sebagai matawang selamat. Pasangan USD/JPY yang memberikan hasil sifar pada minggu lalu menunjukkan pasaran masih tidak tahu apa yang perlu dibuat dengan matawang Jepun, jual atau beli. Berkemungkinan besar, kita tidak boleh mengharapkan sebarang pergerakan bebas pasangan ini, dan dinamiknya mungkin akan menentukan mood seluruh pasaran yang berkaitan dengan dolar AS.
    Dalam pada itu, 60% penganalisis memilih penyusutan nilai dolar akan terus berlaku dan penurunan pasangan ini ke sekitar 107.00. Sokongan seterusnya berada di zon antara 104.75-105.15. Pendapat alternatif mendapat sokongan 40% penganalisis. Paras rintangannya berada pada 109.35, 110.15 dan 111.70;
  • Matawang Kripto. Menurut Ketua UnionBank, Edwin Bautista, peralihan sektor perbankan kepada matawang kripto akibat wabak coronavirus dilihat agak realistik. Jika keadaan di pasaran matawang tidak stabil, hanya langkah tersebut yang mampu menyelamatkannya dan meneruskan ekonomi sekarang. “Hampir semua pembelian produk kini dibayar secara online. Mungkin akan tiba masanya wang fiat tidak lagi diterima sebagai kaedah pembayaran. Jika bank-bank menyokong inisiatif sebilangan kecil penggubal undang-undang yang sudahpun bekerjasama dengan syarikat matawang kripto, industri ini akan mencapai satu tahap baru,” jelas Bautista.
    Namun kenyataan Ketua UnionBank itu boleh dianggap sebagai ramalan jangka sederhana. Apa yang akan tiba dalam masa terdekat ini? Pertengahan April adalah permulaan bagi syarikat-syarikat korporat mengumumkan laporan mereka. Indikator bagi syarikat-syarikat umum serta seluruh sektor ekonomi mungkin agak rendah. Pihak Rizab dan ECB berterusan melambakkan likuiditi murah, dan ia akan menghasilkan satu gelombang inflasi yang agak kuat.
    Dalam situasi ini, terutama sekali dengan lambakan wang fiat, mungkin sekali lagi para spekulator akan menggunakan Bitcoin sebagai alasan untuk dijadikan matawang selamat. Jika ia berlaku, nilai Bitcoin akan mencecah paras $7,000 dan $7,400 tidak lama lagi, mungkin seterusnya menyasarkan untuk melepasi $8,000. 60% penganalisis bersetuju dengan perkembangan ini.
    Sudah tentu terdapat juga senario bearish yang mendapat sokongan 40% penganalisis. Ia juga bergantung sepenuhnya terhadap perkara yang akan berlaku di AS, apabila terdapat tuntutan mahkamah yang difailkan terhadap empat bursa utama Bitcoin serta tujuh projek ICO minggu lalu, termasuklah Binance, BitMex dan juga EOS. Tuntutan ini mendakwa terdapat pelanggaran undang-undang AS oleh defendan, termasuklah undang-undang pengeluaran dan pengedaran sekuriti. Jika pihak SEC (Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa AS) mahu memenangi kes ini, Bitcoin akan melepasi paras sokongan $6,700 dengan cepat, dan kita akan lihat pasangan ini sekali lagi berada di sekitar paras $6,000.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami