Mei 16, 2020

Terlebih dahulu, ulasan bagi minggu lepas:

  • EUR/USD. Orang tua-tua selalu berkata – “bagai air di daun keladi”. Itulah yang dilakukan Presiden Trump pada 14 Mei lalu. Sebelum kejadian itu, beliau menekankan kelebihan nilai dolar yang lemah, menyatakan bagaimana ia mampu meningkatkan daya saing produk Amerika di pasaran antarabangsa dan memaksa pihak Rizab melonggarkan polisi kewangannya. Kini, beliau dengan tiba-tiba mengumumkan dalam temubualnya bersama Fox TV: “Inilah masa terbaik untuk mengukuhkan nilai dolar. Nilai dolar yang kukuh amat berguna sekarang!” Ketua Rizab Persekutuan, Jerome Powell juga sependapat dengan Presidennya dengan menyatakan para penggubal polisi tidak pernah dan tidak akan mempertimbangkan untuk bertukar ke kadar faedah negatif.
    Sebab utama pendirian ini berubah sepenuhnya adalah kerana pertambahan minat yang mendadak ke atas dolar sebagai matawang selamat akibat krisis yang berpunca daripada wabak COVID-19 dan mereka cuba untuk mengambil kesempatan. Selain daripada itu, pihak berkuasa AS terus mencetak duit mereka dengan kapasiti penuh, dan inilah masa yang amat penting bagi mereka untuk mengekalkan minat terhadap matawang sendiri. Mereka takut terdapat pihak yang berterusan menjual sejumlah besar dolar ke pasaran sekunder, dan untuk menghalang daripada ia berlaku, mereka dengan berhati-hati menyakinkan para pelabur bahawa matawang tersebut akan mengukuh.
    Walaupun begitu, sebut harga EUR/USD tidak banyak berubah kerana euro bukanlah seperti lira Turki ataupun real Brazil, ia adalah matawang yang setanding dengan dolar dari segi skala dan kebolehpercayaan. Jika sebelum ini pasangan tersebut bergerak di saluran sisi antara 1.0750-1.1000, julat pengayunnya kini berkurangan kepada 1.0770-1.0890. Sedikit demi sedikit nilai pasangan ini bergabung pada paras hampir dengan 1.0800, menghasilkan bentuk segitiga pada carta sepanjang dua bulan dan mengakhiri minggu lalu pada paras 1.0820;
  • GBP/USD. Ramalan ke atas pound bertepatan dengan realiti yang berlaku. Matawang British ini mendapat tekanan, masalah berkaitan Brexit yang berulang-ulang dan ditambah dengan wabak coronavirus, serta penyusutan kadar KDNK. Nilai pound juga menyusut. Pasangan GBP/USD rugi kira-kira 285 mata sepanjang minggu, berusaha untuk menembusi had terendah koridor selama tujuh minggu di antara 1.2165-1.2650, dan mengakhiri sesi dagangan pada paras 1.2120;
  • USD/JPY. Nilai pasangan USD/JPY mengalami penyatuan di sekitar paras 107.00 dan ini mengesahkan teori bahawa yen juga sama menjadi matawang selamat bagi pelabur seperti euro mahupun dolar. Tambahan lagi, matawang Jepun ini mempunyai kelebihan berbanding euro: jika matawang Eropah kehilangan posisinya berbanding dolar sejak sebulan setengah ke dua bulan yang lalu, nilai yen pula semakin pulih. Manakala pasangan silang EUR/JPY menyusut hampir 500 mata sejak akhir Mac (dari 121.00 kepada 116.00). Bagi minggu lalu, matawang Jepun ini bergerak pada julat yang agak sempit di antara 106.50-107.75 yen bagi setiap dolar sepanjang tempoh lima hari, dan mengakhiri minggu pada paras 107.20;
  • Matawang Kripto. Kita paparkan sedikit statistik sebagai permulaan. Menurut Glassnode, jumlah alamat bitcoin dengan baki kurang daripada 1 BTC telah bertambah kira-kira 100% sejak pertengahan tahun 2016. Walet dengan baki kurang daripada 0.01 BTC (kurang daripada $100) menunjukkan pertambahan paling banyak. Jumlahnya telah melonjak sebanyak 235% sejak empat tahun lalu dan ianya melebihi 10 juta. Itu satu berita baik. Namun jika kita membuat perkiraan mudah, jumlah modal pasaran kripto hanya bertambah sebanyak $0.5-1.0 bilion hasil usaha kebanyakan “pelabur kecil” ini. Itu satu jumlah yang kecil! Namun bilangan pemilik matawang kripto dengan jumlah melebihi 1,000 BTC, “jerung” sebenar, hanya bertambah sebanyak 13% dalam masa empat tahun, ini menunjukkan kurangnya minat daripada pelabur-pelabur institusi.
    Kami berikan satu contoh. Tidak lama sebelum ini, pengasas dana lindung nilai Tudor Investment, Paul Tudor Jones yang memiliki anggaran kekayaan berjumlah $5.1 bilion berkata kepada CNBC bahawa Bitcoin, walaupun mengakui ia suatu aset yang bagus untuk spekulasi, beliau hanya memiliki 1-2% daripada portfolionya, dan dianggap kecil jumlahnya.
    Pelabur kripto serta penggubal utama global tidak begitu gembira. Justeru, mahkamah AS yang menyebelahi SEC telah menghalang pemilik aplikasi Telegram Pavel Durov daripada melancarkan matawang kripto miliknya, TON. Nasib yang hampir sama menimpa coin Libra yang dimulakan oleh Facebook, walaupun hakikatnya projek tersebut mendapat sokongan 26 lagi syarikat gergasi seperti eBay, Uber, Booking.com, Vodafone dan banyak lagi. Semua ini mencadangkan bahawa pihak berkuasa AS tidak mahukan sebarang persaingan ke atas dolar sama sekali, dan mereka akan sedaya upaya menghalangnya daripada berlaku.
    Pengurangan penghasilan di rangkaian Bitcoin pada 11 Mei juga tidak menaikkan sikap optimis di pasaran. Sejak awal tahun ini, perkara itu telah menyebabkan kontroversi serta spekulasi mengenai apakah nasib yang akan menimpa matawang kripto utama ini. Walaupun banyak ramalan positif yang dibuat, nilai coin tersebut berada di bawah paras $9,000 selepas penghasilannya dikurangkan. Matawang kripto utama itu gagal untuk berada di atas paras $10,000 pada minggu lalu, hanya berada pada ketinggian $10,003 untuk beberapa minit saja.
    Menurut CoinMetrics, pengurangan ganjaran yang diperoleh penghasil telah menyebabkan penurunan kadar hash bitcoin sebanyak 30%. Bursa kripto telah mula mengeluarkan dana secara aktif, nilainya jatuh kepada $8,100, manakala jumlah keseluruhan modal pasaran kripto susut daripada $270 bilion kepada $234 bilion (-13.3%) pada pertengahan minggu. Walau bagaimanapun, situasi ini kembali stabil menjelang hujung minggu, dengan modal pasarannya mencecah $260 bilion, dan pasangan BTC/USD kembali mensasarkan nilai $10,000. Bacaan Indeks Fear & Greed Kripto turun sebanyak 11 mata sepanjang minggu, dari 55 kepada 44.
    Sekali pandang, carta altcoin terkenal mengulangi dinamik BTC/USD, namun kadar pemulihannya agak perlahan. Tidak seperti bitcoin, Etherium (ETH/USD), ripple (XRP/USD) dan litecoin (LTC/USD) hanya mampu mendapatkan semula separuh nilai kerugian selepas jatuh pada 10 Mei.

 

Untuk minggu hadapan pula, setelah merumuskan pendapat beberapa penganalisis dan juga ramalan yang telah dibuat menerusi pelbagai kaedah teknikal serta analisis grafik, ramalan kami adalah seperti berikut:

  • EUR/USD. Sentimen risiko yang semakin berkurangan serta penjualan dana di luar dagangan bursa telah mengukuhkan nilai dolar. Kini perkara itu mendapat sokongan Presiden AS Trump, dan beliau memberikan kata dua untuk menggagalkan sebarang hubungan mereka dengan China, serta mengugut pihak Rizab Persekutuan kerana gagal untuk menurunkan kadar utama mereka kepada nilai negatif. Hakim Mahkamah Perlembagaan Jerman, Peter Huber juga turut membantu matawang Amerika dengan menyatakan ECB bukanlah “tuan semesta” untuk semua pihak patuh kepada keputusan mereka.
    Semua ini telah menggesa 65% penganalisis yang mendapat sokongan 60% pengayun serta 100% indikator trend pada D1 untuk menyebelahi bear dan memilih penurunan pasangan EUR/USD. Sasaran paling hampir adalah pada 1.0750 dan 1.0650.
    10% penganalisis serta 30% pengayun yang berwarna kelabu neutral mengunjurkan penyatuan berterusan pasangan ini pada paras hampir dengan 1.0800. Akhir sekali, baki 25% penganalisis meramalkan pasangan ini untuk kembali ke sempadan atas koridor sisi di antara 1.0750-1.1000. Pada D1, mereka disokong oleh 10% pengayun yang menunjukkan pasangan ini memiliki lebihan jualan;
  • GBP/USD. Menurut kebanyakan penganalisis, matawang pound bukanlah satu pilihan pelaburan yang bijak walaupun jika penurunan sentimen risiko berlaku. Sudah lama ia gagal menjadi aset selamat semasa ribut melanda pasaran kewangan. Buat masa ini pihak Kesatuan Eropah agak sibuk dengan proses pembentukan belanjawan bagi tempoh tujuh tahun serta masalah pembiayaan yang dihadapinya, pihak ECB pula bertegang urat dengan mahkamah Perlembagaan Jerman, dan Brussels masih belum memberi kata putus tentang penyelesaian masalah yang berkaitan dengan Brexit. Selain keluar daripada EU, UK terus-menerus mengalami penurunan KDNK, pertambahan kadar pengangguran serta baki dagangan asing yang negatif.
    Disebabkan itu, 65% penganalisis mengunjurkan penyusutan matawang British serta penurunannya hampir pada paras 1.2000. Jika paras utama ini dilepasinya, pasangan tersebut akan terus turun ke paras terendah bulan Mac: 1.1640 dan juga 1.1450. Sentimen bearish ini turut mendapat sokongan indikator pada H4 dan juga D1, kecocokan yang jarang berlaku: 85% pengayun serta 100% indikator trend menunjukkan warna merah.
    Pandangan berbeza dikongsi oleh 35% penganalisis, 15% pengayun menunjukkan pasangan ini mempunyai lebihan jualan, serta analisis grafik pada kedua-dua tempoh masa. Mereka berpendapat, penurunannya ke sempadan bawah saluran antara 1.2165-1.2650 adalah sementara, dan pasangan ini pada mulanya dijangka akan kembali ke zon tengah saluran 1.2245-1.2465, kemudian mungkin akan naik ke sempadan atas pula;

  • USD/JPY. Yen tidak berganjak, menunggu perkembangan perang dagangan serta politik di antara AS dan China. Jangan lupa bahawa sebut harganya juga kuat dipengaruhi oleh kekuatan sentimen risiko di pasaran. Terdapat juga kaitan dengan bon 10 tahun Perbendaharaan AS, serta kebergantungan ekonomi Jepun terhadap harga minyak. Faktor yang begitu banyak masih lagi tidak dapat memberi gambaran ke manakah arah pergerakan selepas ia melepasi zon penyatuan di sekitar 107.00. Buat masa ini, para penyokong pertumbuhan pasangan ini memiliki kelebihan (40%), dan mereka turut mendapat sokongan 65% pengayun pada H4. 20% penganalisis menjangkakan penurunan, manakala 40% lagi - pergerakan mendatar.
    Paras sokongan paling hampir adalah 106.75, 106.00 dan 105.00. Paras rintangannya pula berada pada 107.45, 108.00, 108.50 dan 109.35;
  • Matawang Kripto. Jadi, pengurangan penghasilan bitcoin telah mengurangkan keuntungan satu blok yang dihasilkan kepada 6.25 coin. Sesetengah penghasil telahpun meninggalkan perniagaan ini atau menjual aset mereka bagi menanggung kerugian. Malah sebelum hasilnya dikurangkan pun, banyak perkakas untuk menghasilkan BTC hanya memberi pulangan yang sangat minimum, kini ia langsung tidak memberi keuntungan. Pasaran bagi penghasilannya kini dilihat menuju ke arah monopoli yang lebih besar, dan ia bertentangan dengan idea mengenai desentralisasi matawang kripto. Walau bagaimanapun, ramai penganalisis berharap krisis akibat wabak COVID-19 serta pencetakan wang fiat oleh bank-bank Pusat akan mendorong nilai matawang kripto ini ke atas.
    “Bitcoin mampu bertahan daripada situasi pengurangan penghasilannya yang sudah dirancang sejak empat tahun lalu, dan kini ia bersedia untuk bergerak ke sempadan baru,” jelas jutawan Mike Novogratz, ketua bank dagangan kripto Galaxy Digital. Menurutnya, nilai coin utama ini akan mencecah $20,000 menjelang Disember, dan ia memiliki segala peluang untuk mencapai nilai maksimumnya selepas itu.
    Selain daripada Novogratz, masih ramai dalam kalangan komuniti penganalisis yang optimis dan meramalkan lonjakan mendadak bitcoin untuk jangka sederhana. Menurut Leonard Neo, ketua penyelidik di Stack, lonjakan BTC akan mula dirasai kira-kira 6-9 bulan selepas penghasilannya dikurangkan. Pada mulanya, penghasil akan menyesuaikan diri mereka dengan keadaan yang baru, dan nilai bitcoin akan bertumbuh selepas itu. “Ekonomi global yang terus bergolak mungkin akan mempercepatkan lagi trajektorinya ke arah atas,” CNBC memetik penjelasan penganalisis itu.
    Dalam masa terdekat, tugas pertama BTC/USD adalah melepasi paras $10,000. Selain itu, Bitcoin bukan hanya cukup-cukup makan untuk melepasinya, ia juga harus kukuh untuk berada di atas paras tersebut. Unjuran pertumbuhan mendadak sebut harga pasangan ini hanya akan dapat kita lihat jika perkara itu berlaku. 60% penganalisis bersetuju nilainya akan naik ke paras di antara $10,500-11,000 pada Mei-Jun. Baki 40% pula menjangkakan paras pasangan ini begitu rendah: di zon antara $8,000-9,000. Harus diingat bahawa sebilangan penganalisis telah membuat unjuran yang agak mengecewakan, mereka menjangkakan nilai matawang kripto utama akan mengalami kegagalan di sekitar $6,500.

 

Kumpulan Analitik NordFX

 

Notis: Penulisan ini tidak boleh dianggap sebagai cadangan atau panduan bagi menyertai pasaran kewangan: ianya bertujuan untuk menyampaikan maklumat sahaja. Berdagang di pasaran kewangan mempunyai risiko dan boleh menyebabkan kehilangan wang deposit.


« Berita dan Analisis Pasaran
Terima
Latihan
Baru dalam pasaran? Rujuk bahagian “Untuk Bermula”. Mula Berlatih
Ikuti Kami